Catatan Popular

Sabtu, 9 Januari 2010

ISL Minggu 1

PENILAIAN

Penilaian membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan tercapai atau tidak. Penilaian juga sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang telah ditetapkan seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah rendah.

Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al.(1971:xxv) menyatakan nilai sebagai "proses delineating, mencari dan memberikan maklumat yang berguna dalam mempertimbangkan alternatif-alternatif keputusan"

Gay (1985) berpendapat bahawa "penilaian adalah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu tercapai". Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan yang telah berhubung pengajaran dan pembelajaran.

Popham (1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.

Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang berbentuk kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali.

Penilaian meliputi 3 proses utama;
  1. Menentukan ukuran
  2. Menganalisis ukuran
  3. Menyatakan nilai / interpretasi ukuran
Istilah "pentaksiran" digunakan dalam penilaian pencapaian.
Popham (2000) menyatakan istilah-istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan secara silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran, merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan salam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada pelajar dan juga untuk mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

PENGUKURAN

Pengukuran bermaksud "suatu proses untuk mendapatkan penjelasan secara numerik (melalui angka) tentang sebanyak mana pelajar mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan alat tertentu". Secara ringkasnya pengukuran ialah proses menentukan sejauh mana sesorang memiliki ciri-ciri tertentu.

Pengukuran boleh menentukan tahap prestasi/ciri tertentu seseorang individu/pelajar mengikut alat yang ditentukan. Pengukuran juga boleh dibuat tanpa menggunakan pengujian. Pengukuran boleh dianggap sebagai proses untuk mendapatkan sesuatu ukuran dengan menggunakan kaedah tertentu, manakala pengujian pula merupakan salah satu daripada kaedah tersebut.

Pengukuran tidak bersifat mutlak. Contohnya, pengukuran keupayaan mental sesorang sudah tentu lebih sukar diukur secara tepat berbanding ketinggian fizikalnya. Justeru, sesorang guru perlu menggunakan alat yang tepat bagi menghasilkan ukuran yang tepat. Jika alat yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah ukuran yang diperoleh juga tidak tepat.

PENGUJIAN

Menurut Cronbach (1970), "Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori".

Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:

"Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan". (Raminah 1991:2)

Pengujian menjelaskan tahap pencapaian prestasi pelajar yang diuji. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian, guru akan mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikannya.

Kesimpulannya, hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan