Catatan Popular

Rabu, 20 Oktober 2010

ISL MINGGU 5

PEMBINAAN ITEM OBJEKTIF

Ujian pencapaian adalah penting kepada guru untuk mengetahui sejauh mana pelajar-pelajarnya memahami apa yang mereka pelajari. Jika ujian ini dibina dengan baik, ia boleh diguna untuk membandingkan pencapaian antara pelajar-pelajar atau membandingkan pencapaian antara sekolah-sekolah. Biasanya, ujian pencapaian yang digunakan di sekolah-sekolah dibina sendiri oleh guru-guru mata pelajaran tertentu. Bagaimanapun, ujian yang disediakan oleh guru untuk pelajar-pelajarnya sendiri adalah lebih tepat untuk mengukur pencapaian mereka, sebab ujian ini hanya ditumpukan kepada kandungan pelajaran yang diajar guru. Seperti yang kita sedia maklum, item/soalan objektif bermaksud item/soalan yang mempunyai jawapan tepat/tertentu/spesifik, seperti item betul-salah, aneka pilihan, padanan atau pelengkapan. Semua item ini mempunyai jawapan tertentu, sama ada betul atau salah, jawapan daripada beraneka pilihan yang betul, padanan yang betul, atau perkataan pelengkap yang betul.


Pembinaan Item Beraneka Pilihan

Item/soalan yang sering digunakan dalam ujian pencapaian; di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah atau institut pengajian tinggi; ialah item beraneka pilihan. Item ini terdiri daripada tiga (3) bahagian, iaitu stimulus, stem/badan soalan dan jawapan pilihan.

• Stimulus adalah bahagian soalan yang mengandungi maklumat khusus di mana soalan itu didasarkan, mungkin berbentuk teks, grafik, jadual atau perbualan.
• Stem adalah bahagian soalan yang mengandungi tugasan dan biasanya berbentuk ayat lengkap, ayat tidak lengkap atau soalan.
• Jawapan Pilihan adalah bahagian soalan yang mengandungi jawapan pilihan, yang biasanya berbentuk angka, simbol, frasa, gambar rajah atau jadual dan lain-lain lagi.

Soalan jenis beraneka pilihan ini dikatakan sukar dibina dan sukar juga dijawab oleh pelajar, tetapi mudah diperiksa (boleh diperiksa oleh komputer dengan menggunakan borang OMR). Pelajar mendapati soalan beraneka pilihan sukar dijawab berbanding soalan jenis esei, sebab mereka perlu mengetahui jawapan secara tepat. Berikut adalah 9 prinsip untuk menyediakan soalan berbentuk beraneka pilihan.
1) Arahan hendaklah jelas sama ada pelajar perlu memilih jawapan yang betul atau paling tepat/terbaik, sebab ada kalanya semua jawapan yang diberi adalah betul.
2) Soalan dan semua jawapan hendaklah ditulis secara padat, jelas dan tidak “berbunga-bunga”, supaya pelajar tidak membuang masa untuk memahaminya.
3) Perkataan sepunya tidak diulang-ulang dalam setiap jawapan pilihan, tetapI dimasukkan dalam badan soalan, seperti perkataan “oleh” dalam Contoh 1.
4) Tuliskan setiap jawapan pilihan secara yang menarik supaya setiap jawapan yang diberikan adalah munasabah.
5) Taburan jawapan betul perlu dibuat secara rawak, iaitu tidak mengikut sistem tertentu,
untuk mengelak daripada pelajar meneka jawapan betul.
6) Setiap jawapan pilihan perlu ditulis sama panjang, supaya tidak member petanda kepada pelajar tentang jawapan betul.
7) Jawapan berbentuk “Semua di atas” atau “Tiada satu pun di atas” sebagai jawapan pilihan perlu dikurangkan, supaya pelajar tidak mudah memilih jawapan betul.
8) Aras kesukaran setiap soalan perlu setara (seperti kurangkan jawapan pilihan seperti supaya setiap soalan mempunyai aras kesukaran yang sama.
9) Jawapan pilihan boleh disusun mengikut abjad, nilai nombor atau tahun, supaya wujud satu sistem susunan jawapan pilihan.


Pembinaan Item Betul-Salah


Seperti juga item beraneka pilihan, item ini terdiri daripada tiga (3) bahagian, iaitu stimulus (jika ada), pernyataan dan jawapan pilihan yang berbentuk “Betul” atau “Salah”. Item jenis ini amat sesuai digunakan untuk menguji fakta yang menghendaki pelajar menentukan sama ada pernyataan yang diberikan adalah betul atau salah/palsu. Berikut adalah 8 prinsip untuk menyediakan soalan berbentuk betul-salah:
1. Arahan hendaklah jelas sama ada pelajar perlu menanda (B) bagi jawapan yang betul atau (S) bagi jawapan yang salah.
2. Pernyataan hendaklah ditulis secara padat, jelas dan tidak “berbunga-bunga”, supaya pelajar tidak membuang masa untuk memahaminya.
3. Taburan jawapan betul dan salah perlu dibuat secara rawak, iaitu tidak mengikut sistem tertentu, untuk mengelak daripada pelajar meneka jawapan.
4. Aras kesukaran setiap soalan perlu setara (seperti panjang dan maksud pernyataan),
supaya setiap soalan mempunyai aras kesukaran yang sama.
5. Soalan-soalan hendaklah berasaskan kepada pernyataan yang jelas betul atau yang jelas salah.
6. Elakkan daripada memberi pernyataan yang betul lebih panjang daripada yang salah, untuk mengelak daripada pelajar meneka jawapan.
7. Elakkan daripada menggunakan perkataan “selalu” atau “tidak pernah” dalam pernyataan, untuk mengelak daripada pelajar meneka jawapan.
8. Sediakan bilangan pernyataan yang betul hampir sama dengan bilangan pernyataan yang salah, untuk mengelak daripada pelajar meneka jawapan.

Pembinaan Item Mengisi Ruang Kosong
Item ini terdiri daripada dua (2) bahagian, iaitu stimulus (jika ada) dan pernyataan yang mengandungi ruang kosong untuk diisi pelajar. Item jenis ini amat sesuai digunakan untuk menguji fakta yang menghendaki pelajar memberi jawapan pendek yang tepat. Berikut adalah enam prinsip untuk menyediakan soalan berbentuk mengisi ruang kosong:

1. Arahan hendaklah jelas sama ada pelajar perlu mengisi ruang kosong dalam kertas soalan atau dalam kertas jawapan.
2. Pernyataan/ayat hendaklah ditulis secara padat, jelas dan tidak “berbunga bunga”, supaya pelajar dapat memahaminya dengan baik.
3. Aras kesukaran setiap soalan perlu setara (seperti bilangan perkataan dalam ruang kosong), supaya setiap soalan mempunyai aras kesukaran yang sama.
4. Perkataan yang dikosongkan hendaklah terdiri daripada perkataan yang penting sahaja.
5. Elakkan daripada meninggalkan terlalu banyak ruang kosong dalam sesuatu pernyataan/ayat, supaya soalan tidak menjadi terlalu susah.
6. Ruang kosong hendaklah ditempatkan di penghujung pernyataan/ayat,m supaya perkataan yang dikehendaki jelas kepada pelajar.

Pembinaan Item Padanan
Item ini terdiri daripada dua (2) set maklumat yang perlu dipadankan oleh pelajar. Keduadua set maklumat ini mungkin terdiri daripada perkataan, konsep, prinsip atau pernyataan. Pembina item perlu memastikan maklumat dalam set pertama mempunyai perkaitan/ hubungan dengan maklumat dalam set kedua. Item ini sesuai untuk mengukur kefahaman dan keupayaan pelajar mengaitkan fakta dan konsep. Bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa padanan yang melibatkan dua (2) set maklumat ini menjadikan item padanan sebagai item “banyak soalan dalam satu soalan”, yang bergantung kepada bilangan perkaitan yang ada. Justeru, guru perlu memberikan markah yang setimpal dengan bilangan perkaitan ini. Berikut adalah enam prinsip untuk menyediakan soalan berbentuk padanan:

1) Arahan hendaklah jelas sama ada pelajar perlu membuat padanan satu-ke satu atau padanan yang lain seperti membuat padanan yang wujud sahaja.
2) Pernyataan/ayat hendaklah ditulis secara padat, jelas dan tidak “berbunga bunga”, supaya pelajar dapat memahaminya dengan baik.
3) Aras kesukaran bagi setiap perkaitan perlu setara (seperti bilangan perkataan), supaya setiap perkaitan mempunyai aras kesukaran yang sama.
4) Pernyataan yang diberi perlu mempunyai perkaitan yang tepat dengan padanannya supaya pelajar dapat mengenal pasti padanan tersebut.
5) Elakkan daripada menggunakan terlalu banyak perkataan dalam sesuatu maklumat, supaya soalan tidak menjadi terlalu susah.
6) Bilangan padanan tidak terlalu banyak (mungkin maksimum 5 padanan), supaya pelajar tidak menggunakan terlalu banyak masa untuk mencari padanan.

PEMBINAAN ITEM SUBJEKTIF

Item subjektif bermaksud item yang mempunyai jawapan terbuka, iaitu yang tidak spesifik seperti jawapan kepada item objektif. Item subjektif ini membenarkan subjektiviti dalam jawapan yang diberikan. Item ini digunakan untuk pelajar mempamerkan kedalaman pengetahuan yang dimiliki. Justeru, item ini sesuai untuk mengukur tahap kognitif yang lebih tinggi, seperti mengukur penguasaan menganalisis,mensintesis, membuat pertimbangan, menilai dan membuat keputusan, yang memerlukan kemahiran berfikir. Item subjektif juga memberi kebebasan kepada pelajar dari segi gaya persembahan jawapan dan juga panjang atau pendek jawapan tersebut


Prinsip Am Penyediaan Item Subjektif

Item subjektif ini biasa berbentuk esei, sama ada berjawapan pendek, sederhana atau panjang. Justeru, prinsip penyediaan item jenis esei ini adalah sama bagi ketiga-tiga kategori soalan tersebut. Berikut adalah tujuh prinsip am untuk menyediakan soalan berbentuk esei:

Prinsip

* Penulis perlu menyemak sukatan pelajaran dan objektif pengajaran, supaya soalan yang dihasilkan menepati sukatan pelajaran dan objektif pengajaran tersebut.

* Arahan hendaklah jelas tentang panjang jawapan dan sama ada pelajar perlu menjawab dalam kertas soalan (mengisi ruang kosong) atau dalam kertas jawapan.

* Soalan hendaklah ditulis secara padat, jelas dan tidak “berbunga-bunga”,supaya pelajar tidak membuang masa untuk memahaminya.

* Aras kesukaran setiap soalan perlu setara supaya setiap soalan yang diberi markah yang sama, mempunyai aras kesukaran yang sama juga.

* Soalan perlu ditulis supaya pelajar dapat membayangkan satu kerangka struktur yang akan memandu pelajar untuk menjawab soalan tersebut.

* Tentukan terlebih dahulu perkara yang ingin diberi markah dan markahnya untuk memudahkan penyediaan skema jawapan.

* Gunakan lebih banyak soalan berjawapan pendek (1/2 muka surat) daripada soalan berjawapan panjang (2-3 muka surat), supaya lebih banyak soalan boleh diberikan.


Kata tugas adalah suatu kata kerja yang terdapat pada sesuatu item yang fungsinya ialah untuk menyatakan tugas yang perlu dibuat oleh pelajar semasa menjawab sesuatu item/soalan.


Kata Tugas Item Subjektif

Sebelum kita membina item subjektif, kita perlu memahami jenis kata tugas yang sesuai digunakan untuk membina item tersebut. Kata tugas ini akan mengarahkan pelajar untuk memberikan jawapan seperti yang dikehendaki oleh soalan. Oleh itu, pemilihan kata tugas yang sesuai untuk sesuatu item adalah sangat penting. Kegagalan menggunakan kata tugas yang tepat dengan hasrat penulis item akan menyebabkan pelajar gagal memberikan jawapan seperti yang ditentukan dalam peraturan memberi markah.

Kata tugas mempunyai kaitan yang rapat dengan tujuan ujian yang menggunakan item berkenaan. Bagaimanapun, sesuatu kata tugas itu tidaklah unik bagi satu tujuan ujian sahaja, kerana kata tugas yang sama boleh menghasilkan jawapan yang berlainan. Terdapat kata tugas yang boleh berdiri dengan sendiri untuk menyatakan kehendak soalan. Bagaimanapun, terdapat kata tugas yang memerlukan sokongan daripada beberap perkataan lain untuk menjadikan kehendak soalan itu lebih jelas. Jadual berikut menunjukkan beberapa kata tugas dan jawapan yang diharapkan.


* Analisiskan - Membuat pernyataan terperinci tentang suatu aspek atau perkara yang dikomunikasikan.

* Anggarkan - Memberikan nilai kuantitatif yang dianggap sesuai dengan keadaan yang ditetapkn dengan menggunakan satu pengetahuan tertentu.

* Apakah - Memberi maklumat yang khusus atau spesifik.

* Bagaimanakah - Memperihalkan, memberi penerangan tentang keadaan langkah atau kejadian.

* Bandingkan - Menyatakan persamaan dan perbezaan antara dua atau lebih perkara.

* Berapakah - Memberi kuantiti.

* Bezakan - Menyatakan kelainan, ketidaksamaan antara dua atau lebih perkara.

* Bilakah - Menyatakan masa atau waktu.

* Binakan - Membuat sesuatu dengan menggunakan kaedah atau alat tertentu.

* Bincangkan - Memberi penerangan daripada pelbagai aspek.


PEMBINAAN ITEM SUBJEKTIF

Pembinaan Item Esei Berjawapan Pendek
Item jenis ini memerlukan pelajar memberi jawapan pendek (biasanya satu perenggan) yang memberi peluang kepada mereka menyampaikan pendapat, hujah atau idea sendiri. Item bentuk ini amat sesuai untuk mengukur pengetahuan, kefahaman dan aplikasi/penyelesaian masalah mudah, yang turut melibatkan kemahiran berfikir. Soalan esei berjawapan pendek ini boleh dibina supaya jawapannya menjadi lebih objektif (lihat contoh) daripada soalan esei berjawapan terbuka. Dengan jawapan yang terbatas ini, pemeriksaannya dapat diselaraskan dengan mudah, dan ini dapat meningkatkan kebolehpercayaan soalan tersebut. Di sini, walaupun jawapannya lebih objektif daripada jawapan esei terbuka, jawapan esei pendek masih lagi agak subjektif/pelbagai. Oleh kerana jawapan esei pendek ini masih pelbagai, maka pembina soalan perlu menyediakan skema jawapan yang merangkumi semua jawapan yang mungkin.

Pembinaan Item Esei Berjawapan Terbuka
Item bentuk ini membenarkan pelajar merancang dan memberi jawapan secara bebas, justeru, mengundang pelbagai kemungkinan jawapan daripada mereka. Misalnya, pelajar bebas mengemukakan idea, pendapat dan tanggapan, mengorganisasikan idea, membina hujah yang logis, memberikan penilaian terhadap sesuatu pemikiran atau mengaitkan pemikiran dengan perasaan. Oleh itu, jenis item ini amat sesuai untuk mengukur konstruk, yang memerlukan pelajar menggunakan beberapa kemahiran seperti menginterpretasi, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Item jenis ini juga membolehkan pelajar mempamerkan proses pemikiran kritis dan kreatif. Pelajar juga akan menghadapi masalah semasa menjawab soalan berjawapan terbuka ini, sebab mereka perlu mengutip dan memilih isi-isi dan idea-idea daripada pengetahuan sendiri, menyusun isi-isi dan idea-idea ini, dan seterusnya, menulis dengan cara yang logik supaya isi-isi dan idea-idea ini dapat dikomunikasikan dengan baik. Oleh sebab jawapannya yang amat terbuka, yang mengandungi isi-isi, idea-idea dan kreativiti tertentu, maka pembina item bentuk ini perlu menyediakan skema/ peraturan pemarkahan yang jelas, terperinci dan menyeluruh, agar penilaian pencapaian pelajar dapat dibuat sewajarnya.

Walaupun item berjawapan terbuka ini sukar dijawab dan juga diperiksa, ia mempunyai
kekuatan tersendiri, iaitu dapat menggalakkan pelajar:
• menerokai pelbagai cara atau pendekatan untuk menyelesaikan sesuatu masalah;
• membuat pertimbangan dan penilaian tentang sesuatu idea atau maklumat;
• mempamerkan sesuatu idea yang asli mereka;
• mengabungkan pelbagai pengetahuan, idea dan maklumat; dan
• mengenal pasti, memilih, menyusun dan mempersembahkan sesuatu perkara atau idea dalam bentuk komunikasi bertulis.

Selasa, 19 Oktober 2010

ISL MINGGU 4

Jenis-Jenis Penilaian

Banyak cara kita boleh mengkelaskan penilaian. Penilaian yang dibuat berasaskan tujuan dan masa boleh dikelaskan kepada penilaian formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik dan alternatif. Penilaian pengajaran juga boleh dilakukan melalui pelbagai hasil pembelajaran pelajar seperti disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar dan oral pelajar. Justeru ujian yang dibina perlu mencerminkan tujuan dan masa sesuatu penilaian dilakukan. Terdapat dua jenis penilaian berdasarkan kepada masa dan tujuan pelaksanaan penilaian iaitu penilaian formatif dan sumatif.

Penilaian Formatif

Penilaian formatif digunakan untuk mengesan kemajuan yang dicapai oleh pelajar dalam unit-unit pelajaran yang diajar. Penilaian formatif dilakukan bagi memastikan pelajar telah menguasai setiap unit pelajaran sebelum mereka diperkenalkan dengan unit pelajaran baru seterusnya. Penilaian formatif sangat berguna bagi tujuan diagnosis. Dengannya punca-punca kelemahan pelajar dapat dikesan. Penilaian formatif dapat menentukan samada pelajar telah bersedia untuk mengikuti pelajaran berikutnya yang lebih tinggi dan rumit. Penilaian formatif juga boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar. Penggunaan penilaian formatif sangat ditekankan di sekolah.

Memandangkan laporan penilaian formatif adalah untuk tujuan diagnosis kelemahan pelajar dalam unit-unit pelajaran, pelaporan penilaian formatif amat sesuai dirumuskan sebagai “menguasai” atau “tidak menguasai” sesuatu isi unit pelajaran. Pencapaian ujian formatif tidak sesuai digred.

Guru sepatutnya memberi penerangan kepada pelajar dan ibu bapa mengenai tujuan penilain formatif iaitu sebagai ujian diagnostik yang dapat mengesan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Maklumat yang diperoleh seharusnya terus digunakan untuk memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran. Daripada kelemahan ini, guru dan pelajar dapat mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang akhirnya membantu mempertingkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan.

Bagi memastikan penilaian formatif ini berkesan, prosedur berikut perlu diberi perhatian oelh guru:
• menentukan tajuk pengajaran
• menentukan aspek penguasaan
• menghubungkait elemen-elemen dalam tajuk
• membina soalan ujian
• mencadangkan tindakan susulan


Penilaian Sumatif

Penilaian sumatif pula digunakan bagi menentukan tahap penguasaan pelajar dalam keseluruhan kursus. Penilaian sumatif biasanya dilakukan pada akhir sesi kursus. Contoh penilaian sumatif ialah ujian akhir semester. Memandangkan penilaian sumatif dibuat pada akhir kursus, skor-skor dari penilaian sumatif biasanya lebih berguna untuk tujuan melaporkan kemajuan pelajar daripada memperbaiki kelemahan awal pengajaran pensyarah dan pembelajaran pelajar.

Secara am, tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu pelajar meningkatkan pencapaian, tetapi untuk memberikan gred kepada mereka. Gred yang diperoleh boleh digunakan untuk membuat perbandingan pencapaian dikalangan pelajar. penilaian suamtif juga dapat dijadikan petunjuk samada pelajar akan berjaya mengikuti sesuatu mata pelajaran baru atau tidak.

Bagi memastikan penilaian sumatif, langkah-langkah berikut harus diambil semasa menggubal ujian:
1. membentuk jadual penentu ujian
2. membina soalan
3. mengumpul soalan secara sistematik
4. menguji soalan melalui kajian rintis
5. menyiapkan skema pemarkahan

Penilaian Pra Kelayakan dan Diagnostik

Penilaian pra kelayakan digunakan sebagai petunjuk sama ada pelajar berpontensi, bersedia dan mempunyai kecerdasan, bakat dan minat terhadap sesuatu bidang yang ingin beliau ceburi. Penilaian diagnostik pula dilakukan sebagai cara untuk mengesan sama ada pelajar sudah bersedia untuk mengikuti pelajaran seterusnya. Sekiranya beliau belum bersedia, guru dapat mengesan kelemahan dan kekuatan pelajar agar pembetulan serta penambahbaikan yang berkaitan boleh lakukan.

Ujian Pencapaian

Ujian pencapaian mengukur secara khusus sejauh mana pelajar telah menguasai isi sesuatu kursus yang diajar. Ujian pencapaian mempersoalkan apa yang pelajar telah belajar? Seringkali ujian pencapaian merujuk kepada ujian bagi mengukur tingkah laku pengajaran dan pembelajaran kognitif, afektif dan psikomotor.

Ujian Kecerdasan

Ujian kecerdasan adalah ujian yang direka khusus untuk mensampel secara luas pelbagai fungsi mental (pemikiran) supaya dapat menganggarkan tahap intelektual am seseorang individu.

Ujian Prestasi

Ujian prestasi adalah ujian yang memerlukan pelajar menunjukkan pemahaman dan kemahiran mereka dalam melakukan aktiviti atau siri aktiviti seharian. Ujian prestasi memberi rangsangan kepada pelajar untuk memperkenal dan mengembangkan aktiviti pemikiran dan taakulan mereka berasaskan kepada kurikulum yang diajar. Di antara teknik yang digunakan dalam ujian prestasi ialah menghendaki pelajar merakam sebahagian aktiviti, menemubual pelajar bagi mengesahkan kebolehan, kefahaman dan pemikiran mereka. Teknik portfolio juga sering digunakan bagi memeriksa hasil kerja pelajar. Melalui teknik portfolio guru boleh menentukan sama ada kerja yang dilakukan memenuhi kehendak soalan ujian.

Penilaian Alternatif

Penilaian prestasi yang menegaskan bahawa kaedah penilaian ini memberi satu alternatif kepada pengujian kertas dan pensil tradisional. Penilaian pengajaran di universiti sering melibatkan penilaian berdasarkan hasil pembelajaran yang ditunjukkan oleh pelajar. Antara penilaian alternatif ini adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, seminar, bengkel dan oral pelajar. Sebagai contoh, pensyarah boleh menilai keberkesanan pengajarannya dalam sesuatu kursus melalui portfolio yang disediakan oleh pelajar

Jumaat, 22 Januari 2010

ISL Minggu 3

JADUAL SPESIFIKASI UJIAN

Definisi JSU ( Jadual Spesifikasi Ujian)

Ia menghuraikan aspek-aspek pencapaian yang hendak diukur serta memberikan panduan untuk mendapatkan satu sampel item-item soalan.

Kepentingan JSU

· Dapat mengelakkan ujian yang dibina secara sembarangan dan dapat dilakukan secara terancang dan rapi.

· Dalam JSU, bilangan soalan bagi sesuatu tajuk diberi berdasarkan pentingnya tajuk atau objektif pelajaran

· Akan menjamin kesahan dan kebolehpercayaan ujian.

· Membolehkan ujian yang sama dibina oleh orang lain.

· Dapat menstabilkan taraf dan aras kesukaran ujian dari setahun ke setahun.

· Perbandingan dapat dibuat di antara satu ujian dengan ujian yang lain

Langkah-langkah Penyedian JSU (Jadual Spesifikasi Ujian)

JSU mengandungi maklumat tentang:

· Bentuk dan panjangnya ujian

· Aras kesukaran dan juga aras kemahiran yang diuji

· JSU yang dirancang dengan baik akan menolong dalam penentuan kesahan dan kebolehpercayaan ujian itu.

· Pembahagian soalan untuk tiap-tiap unit kandungan mesti sama dengan penegasan yang diberi dalam pengajaran.

· Kepentingan aras mesti bersesuaian dengan kebolehan murid-murid yang akan diuji.

· Terdapat dua jenis soalan yang boleh digunakan iaitu soalan objektif dan soalan subjektif.

· Penggubal soalan mesti menentukan jumlah soalan untuk ujian itu.

· Masa mestilah cukup supaya 80% daripada murid-murid dapat menjawab soalan.

Langkah pertama

1. Menyenaraikan tajuk-tajuk yang hendak diuji

2. Mengira jumlah masa bagi setiap tajuk yang diajar.

Langkah dua

1. Menentukan soalan yang ingin dibina. Contohnya; soalan subjektif atau soalan objektif (bergantung kepada format)

2. Meletakkan jumlah soalan bagi setiap topik.

Langkah tiga

1. Menentukan aras kesukaran

2. Menentukan model aras kesukaran model (JSU)

3. Lazimnya JSU mengamalkan Taksonomi Objektif Pendidikan Bloom.

Langkah empat

1. Memastikan jenis ujian yang akan/ hendak diuji.

2. Jenis soalan yang boleh digunakan; ujian objektif, ujian esei, dan lain-lain. (bergantung kepada format)

Langkah Lima

1. Menentukan bilangan soalan bagi setiap komponen

2. Penentuan aras kesukaran soalan ( soalan mudah kepada soalan susah)

3. Menetapkan pemarkahan.

Langkah enam

1. Menyatakan matapelajaran

2. Tingkatan atau kelas

3. Susunan nombor soalan mengikut tajuk.

Ahad, 17 Januari 2010

ISL Minggu 2

Taksonomi Bloom

  • Menitikberatkan aspek kognitif atau pengetahuan
  • Bercorak hierarki (tahap rendah ke tahap tinggi)
  • Membuat soalan pelbagai aras untuk menguji tahap berfikir pelajar

Tahap

Istilah

Pengetahuan

Ingat kembali, mengenal idea, fakta asas, definisi teori, hokum, tarikh, peristiwa dll daripada pembelajaran yang lepas.

Nyatakan,

Terangkan,

Namakan,

labelkan

Kefahaman

Mengubah kefahaman daripada satu bentuk kepada satu bentuk yang lain, menyatakan idea-idea utama dalam ayat sendiri, menterjemah, memberi contoh kepada konsep, menterjemah draf.

Pilih,

Terangkan,

Tulis semula.

Penggunaan

Menggunakan maklumat dalam situasai yang baru, termasuk menyelesaikan masalah menggunakan prinsip, kaedah, hukum, teori, formula. Bina graf daripada data, dll.

selesaikan,

ramalkan,

cari,

kesilapan,

bina alat.

Analisis

Sesuatu yang kompleks dipecahkan kepada yang kecil, bezakan fakta daripada pendapat, kaitan kenal di antara bahagian, kenali struktur organisasi.

Bezakan,

pasti,

pilih.

Sintesis

Menyepadu, mencantum idea menjadi satu, usaha tersendiri, menyelesaikan masalah, membuat ramalan, membuat klasifikasi.

Bina,

hasilkan,

susun,

kembangkan.

Penilaian

Membuat pertimbangan termasuk memberi rasional atas alasan dalaman atau luaran, menafsir dan mengkritik.

Pilih,

berikan alasan,

kritikan,

buktikan.

Taksonomi Kognitif Bloom (1956)

Domain Krathwohl


Krathwohl dan rakan-rakan, (1964) adalah antara penyelidik yang julungkali menggunakan terminologi ‘afektif’ (affective) dalam memperkenalkan satu lagi domain penting dalam hidup manusia. Ia digunakan sebagai satu lagi objektif pengajaran di samping aras-aras yang terdapat dalam domain kognitif yang telah diperkenalkan oleh Bloom dan rakan-rakan pada tahun 1956. Krathwohl mengkategorikan domain afektif sebagai terdiri daripada; penerimaan (receiving), tindak-balas (responding), menilai (valuing), menyelaraskan sistem nilai (organizing a value set), dan mengamalkan sesuatu mengikut sistem nilai yang kompleks (characterizing by value complex).

Diasaskan oleh, David R. Krathwohl

  • Merupakan bidang berhubung dengan perasaan, emosi dan sikap.
  • Guru harus berkebolehan menggunakan unsur afektif untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran yang baik.
  • Pembelajaran dapat dijalankandengan berkesan dengan adanya murid yangmdapat membentuk sikap positif.


PENERIMAAN

  • Berhubung dengan kemahuan pelajar untuk memberi perhatian.
  • Tindakan pelajar mencerminkan satu kesedaran atau perhatian terhadap ransangan dan peristiwa atau persekitaran yang berhubung dengan domain afektif.
  • Konteks pengajaran menekankan kepada kebolehan mendengar, menanyakan soalan, mengenal bahagian-bahagian ayat dan menjawab dengan lengkap.

Terdapat tiga perkara berhubung dengan aras ini iaitu:

  1. Kesedaran - pelajar dikatakan sedar dengan objek atau peristiwa jika berlaku semasa kehadiran mereka.
  2. Kesudian untuk menerima - sesuatu pengajaran harus disampaikan di dalam satu suasana atau keadaan yang bermakna dan menarik.
  3. Perhatian yang terkawal atau terpilih – pelajar membezakan keseluruhan keadaan kepada 2 bahagian atau kepada bahagian-bahagian komponen dan kemudian memilih satu daripda aspek tertentu dan terus memberi perhatian


GERAK BALAS

  • Melibatkan diri secara aktif terhadap sesuatu dan mendapat kepuasan daripadanya.
  • Pada aras ini, pelajar bersedia dan rela untuk membuat reaksi yang mudah terhadap sesuatu objek atau situasi.


MENILAI

  • Pada peringkat ini perlakuan adalah didasarkan atas konsep dan prinsip yang telah dinuranikan sehingga menjadi kepercayaan.
  • Perlakuan cenderung menjadi konsisten walaupun dalam keadaan yang berbeza jika kepercayaan itu boleh dipratikkan.


ORGANISASI

  • Membawa maksud membentuk sesuatu sistem nilai.
  • Apabila lebih daripada satu nilai dinuranikan maka membolehkan beberapa nilai digunakan.
  • Pelajar terpaksa membina beberapa hubungan dan keutamaan di antara nilai-nilainya.

Sabtu, 9 Januari 2010

ISL Minggu 1

PENILAIAN

Penilaian membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan tercapai atau tidak. Penilaian juga sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang telah ditetapkan seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah rendah.

Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al.(1971:xxv) menyatakan nilai sebagai "proses delineating, mencari dan memberikan maklumat yang berguna dalam mempertimbangkan alternatif-alternatif keputusan"

Gay (1985) berpendapat bahawa "penilaian adalah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu tercapai". Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan yang telah berhubung pengajaran dan pembelajaran.

Popham (1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.

Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang berbentuk kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali.

Penilaian meliputi 3 proses utama;
  1. Menentukan ukuran
  2. Menganalisis ukuran
  3. Menyatakan nilai / interpretasi ukuran
Istilah "pentaksiran" digunakan dalam penilaian pencapaian.
Popham (2000) menyatakan istilah-istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan secara silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran, merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan salam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada pelajar dan juga untuk mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

PENGUKURAN

Pengukuran bermaksud "suatu proses untuk mendapatkan penjelasan secara numerik (melalui angka) tentang sebanyak mana pelajar mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan alat tertentu". Secara ringkasnya pengukuran ialah proses menentukan sejauh mana sesorang memiliki ciri-ciri tertentu.

Pengukuran boleh menentukan tahap prestasi/ciri tertentu seseorang individu/pelajar mengikut alat yang ditentukan. Pengukuran juga boleh dibuat tanpa menggunakan pengujian. Pengukuran boleh dianggap sebagai proses untuk mendapatkan sesuatu ukuran dengan menggunakan kaedah tertentu, manakala pengujian pula merupakan salah satu daripada kaedah tersebut.

Pengukuran tidak bersifat mutlak. Contohnya, pengukuran keupayaan mental sesorang sudah tentu lebih sukar diukur secara tepat berbanding ketinggian fizikalnya. Justeru, sesorang guru perlu menggunakan alat yang tepat bagi menghasilkan ukuran yang tepat. Jika alat yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah ukuran yang diperoleh juga tidak tepat.

PENGUJIAN

Menurut Cronbach (1970), "Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori".

Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:

"Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan". (Raminah 1991:2)

Pengujian menjelaskan tahap pencapaian prestasi pelajar yang diuji. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian, guru akan mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikannya.

Kesimpulannya, hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat.